Dahulu kala
saya pernah percaya
tudung itu bukan sahaja
harus bagi wanita solehah
tapi juga bagi awek lelaki
soleh dan yang memejam sebelah mata.
Dahulu kala
saya pernah dituduh
kurang ajar dan lemah pedoman
jika mencabar kepimpinan lelaki
yang tidak berbeza rupa dan sifat
kepimpinan seorang perempuan.
Dahulu kala
saya pernah percaya
kewanitaan itu lumrah
yang disempurnakan jodoh
dan cahaya mata.
Cita-cita dan kerjaya hanyalah
lamunan anak mentah.
Dahulu kala
saya pernah dituduh
penyibuk dan lantang
jika bersuara tentang
penindasan harian kecil dan besar.
Jangan persoalkan kuasa,
salah maupun yang benar.
“Itulah ragam manusia”
“Jangan kerana mulut badan binasa”
Dahulu kala
Saya pernah percaya
manusia banyak kelemahan.
Yang perempuan berakal satu.
Lemah lelaki lemah lagi perempuan
yang dihambai
gergasi ghaib bernama patriarki.
Tetapi kini
saya bangkit dari lamunan dan kritikan.
Seribu satu keraguan ditepis.
Dari kelemahan timbul satu kekuatan
yang menumbang seribu satu ego.
Saya percaya
feminisme bukan nilaian KPI
dimana segalanya mesti dicapai:
Badan ramping, suami yang kacak.
Anak yang comel, cerdas, dan bijak.
Saya masih percaya
kepada harapan dan daya
kaum hawa dan adam
dalam perjuangan bersama.
Jiwa dan raga yang ingin menyala –
Itu dahulu kala.
Semangat yang berbuak-buak –
Sekaranglah waktunya!