Disiar di Merdeka Review, tanggal 17 April 2012.
Kelewatan ini melihat desas-desus pengharaman paparan watak LGBT di kaca televisyen telahpun mendatangkan lagi persoalan tentang wajarkah individu-individu LGBT mempunyai tempat di siaran media. Bagi saya, jawabnya ya, tetapi saya juga mempunyai rasa ragu dengan pendirian saya. Pertama sekali, watak lesbian, gay, dan transgender terutamanya di filem-filem dan rancangan televisyen tempatan hampir selalunya stereotaip-stereotaip yang negatif. Sebagai contoh, watak yang dianggap ‘gay’ selalu disamakan dengan lelaki yang ‘lembut’, cerewet, dan slapstik tahap kewanitaannya.
Watak-watak yang difahamkan sebagai ‘lesbian’ pula hanya mempunyai satu jelmaan; wanita yang mempunyai gaya pemakaian dan pertuturan seperti lelaki atau ‘butch’. Watak transgender atau Mak Nyah pula tidak lain dan tidak bukan seorang wanita yang menjual tubuhnya dipersisiran jalan atau penghibur di kelab malam yang terlalu marak make-up dan gaya kewanitaannya. Secara lazim, watak-watak LGBT akan insaf, dikecewakan, atau diseksa dalam drama televisyen dan filem tempatan, contohnya filem Anu Dalam Botol.
Kesemua stereotaip-stereotaip ini memain peranan dalam media; kesemuanya berfungsi sebagai watak satu-dimensi yang digunakan sebagai bahan jenaka atau kontroversi yang tidak bertempat. Menurut peneliti-peneliti media, apa yang dilihat di media merupakan paparan dan gambaran yang dibuat oleh masyarakat majoriti atau kebanyakan untuk tontonan kebanyakan, dan jarang sekali buat sukuan minoriti masyarakat. Pendekatan yang diambil untuk mengharam penggambaran watak-watak LGBT di media untuk mengelakkan masyarakat Malaysia (yang bukan LGBT) daripada menyokong gerakan hak-hak seksualiti dan menzahirkan gender adalah sangat simplistik.
Mengikut pakar-pakar media juga, penonton dan pengguna media adalah lebih celik daripada yang dianggap oleh lembaga penapisan Malaysia; setiap satu pengguna media mempunyai cara menafsir imej-imej dan maklumat media dengan cara tersendiri. Tetapi ini tidak bermaksud setiap individu bebas berfikir di bawah satu kerajaan yang kuat menyensor dan menyempit wacana. Akhirnya, kebebasan menonton, berfikir, dan menafsir media dari pelbagi sudut pandangan individu tertakluk kepada macam-macam faktor, terutamanya yang berupa politik, sosial, dan taraf pendidikan individu.
Habis, mengapakah penting watak-watak LGBT dipaparkan di media tempatan? Pertama, paparan yang ‘realistik’ mengemukakan isu-isu dan pengalaman komuniti LGBT dengan harapan ia boleh ‘memanusiakan’ LGBT. Jika penonton (yang bukan LGBT) dihidangkan dengan stereotaip-stereotaip sahaja, secara tidak langsung ini akan mencorak pendapat khalayak tentang apa yang mereka fahami tentang komuniti minoriti ini. Kedua, seperti mana-mana penonton filem atau drama televisyen, kita suka melihat dan boleh berkongsi perasaan dengan watak-watak yang pada zahirnya lebih kurang seperti kita. Inilah sebabnya drama yang diperankan pelakon utama wanita akan selalunya mempunyai lebih ramai penonton wanita daripada lelaki. Ketiga, personaliti media atau artis LGBT boleh memainkan peranan positif sebagai ‘role model’ seperti Dorce Gamalama kepada yang anak-anak muda dan remaja yang dijadikan sasaran samseng-samseng yang merasa diri mereka lebih alim.
Malaysia mempunyai sejarah menolak keras penyanyi luar negeri daripada mementaskan muzik mereka kerena hala seksualiti mereka yang gay. Pengucapan perkataan ‘gay’ juga pernah dilenyapkan daripada bibir pelakon Sean Penn yang memenangi anugerah Oscar pada tahun 2007 untuk peranannya sebagai ahli politik Amerika gay yang pertama, Harvey Milk. Lagu Lady Gaga, Born This Way (Lahir Sebegini) yang membawa mesej positif tentang toleransi dan penerimaan identiti LGBT pernah di tarik dari siaran radio kerana melanggar “budaya dan tafsiran akidah agama”. Pengharaman yang bersifat anti-LGBT ini tidak dilahirkan daripada sentimen homofobia atau transfobia semata-mata, tetapi menjelma dari wacana awam kita se-Malaysia tentang gender dan seksualiti yang semakin menyempit. Secara lazimnya, lembaga sensor filem Malaysia mempunyai pendirian yang ketat terhadap penyiaran aksi lucah, termasuklah pasangan perempuan-lelaki bercumbuan.
Kerana sempitnya fahaman khalayak dan ahli-ahli yang mewakili majlis sensor film tentang apa maksudnya gender dan seksualiti, dan apa bezanya aksi seks dan identiti yang berdasarkan seksualiti, akronim LGBT disamakan dengan perbuatan seks semata-mata. Malah, LGBT sering dikaitkan dengan cara hidup ‘songsang’, aksi liwat, dan seks bebas. Paparan watak-watak dan personaliti LGBT di saluran media dan di industri filem tanahair seringkali adalah negatif, ini adalah kerana pembikinnya hampir tidak sama sekali gay, lesbian, atau transgender dan kurang memahami pengalaman komuniti yang ingin digambarkan.
Jika pendekatan kita tentang gender dan seksualiti beranjak dari perbuatan seks ke perkara yang difahami dan dialami oleh khalayak seperti percintaan, pernikahan, dan rumahtangga, ia memberi peluang kepada komuniti LGBT untuk bersuara tentang perkara-perkara yang dikongsi bersama masyarakat Malaysia yang bukan LGBT. Ramai yang akan setuju bahawa hubungan seks adalah perkara peribadi, tetapi apakah ramai yang sedar bahawa seksualiti sedikit sebanyak mempunyai implikasi di pentas awam; seksualiti berkait rapat dengan percintaan, dengan siapa kita berpegang tangan di tepi tasik, dengan perkahwinan, dan juga soal-soal rumahtangga.
Seksualiti dizahirkan melalui tarikan kita kepada lelaki atau perempuan, ia membuatkan kita jatuh cinta, dan ia juga sebahagian daripada identiti kita, sama ada kita menggelar diri heteroseksual, biseksual, atau homoseksual. Oleh yang demikian, seksualiti bukan perkara yang tertutup tetapi di’pentas’kan secara terbuka. Di sini saya kaitkan kembali peranan media dalam memaparkan kepelbagaian gender dan orientasi seksualiti dengan menegaskan bahawa media adalah seperti cermin masyarakat. Kerana itu, komuniti LGBT yang membentuk sebahagian daripada rakyat Malaysia dan turut menyumbang kepada pembangunan negara sudah tentu berhak direpresentasikan and bersuara di wahana awam.